Yang pertama di Sarawak untuk menguruskan hal pembelian dan pemprosesan hasil kayu jarak.
SRI AMAN: Sarawak menempa satu lagi sejarah dalam bidang perusahaan dan merupakan berita baik bagi penanam kayu jarak (Jatropha Curcas) di negeri ini berikutan pembukaan dan majlis pelancaran Kilang Perahan Minyak Jarak BIONAS di Gua Sukat, Sri Aman oleh BATC Development Berhad.
Pengurus Kilang tersebut, Lias Julai berkata, kilang tersebut merupakan kilang yang pertama di Sarawak untuk menguruskan hal yang berkaitan dengan pembelian dan pemprosesan hasil kayu jarak.
"Seluas 1,000 hektar tanah di sekitar Sri Aman telah ditanam dengan tanaman kayu jarak, yang diusahakan kira-kira 1,000 orang pengusaha pada masa ini.
"Oleh sebab itu, Sri Aman telah dipilih untuk pembukaan kilang yang pertamanya dan sekarang ini pihak BATC sedang membina kilang yang keduanya di Tamin, Sibu yang dijangka memulakan operasinya pada Ogos 2010," kata Lias.
Selain daripada pelancaran kilang itu, BATC turut melancarkan pusat pemunggahan hasil dan program latihan kepada sesiapa yang berminat dengan tanaman kayu jarak.
Seramai 300 orang telah hadir pada majlis pelancaran ini termasuklah 85 orang yang mengusahakan tapak semaian kayu jarak dan wakil pembeli dan pusat pengumpulan hasil yang dilantik oleh BATC dari semua Bahagian dan kawasan di Sarawak.
Menurut ketua pegawai eksekutif (CEO) BATC Development Berhad Zurina Amnan, pembukaan kilang pemprosesan ini akan membolehkan mereka yang telah mengusahakan tanaman kayu jarak memasarkan hasil tanaman mereka.
"Selama ini para pengusaha kayu jarak mengalami kesulitan memasarkan hasil mereka, jadi pihak kami telah berusaha dengan sedaya-upaya membantu golongan ini dengan membina kilang pemprosesan ini secepat yang mungkin.
"Pada mula ini kami akan membeli buah jarak ini pada kadar harga RM850 setan bagi buah yang sudah masak dan harga tersebut akan berubah dari masa ke semasa mengikut harga pasaran," kata Zurina.
Tambah Zurina lagi, beliau yakin dengan bermulanya operasi kilang itu ia secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan dengan ini pendapatan penduduk turut bertambah.
Turut hadir pada majlis itu ialah pengurus ekskutif BATC, Mohd Safie Jaffri serta pegawainya dari Semenanjung Malaysia.

Rasmi Sudah : Mohd Safie memotong reben sebagai tanda perasmian Majlis Pelancaran Kilang Perahan Minyak Jarak BIONAS di Gua Sukat, Sri Aman sambil disaksikan oleh Pengurus Kilang Lias Julai.