Ko-Tanikan mula cipta sejarah ekonomi ‘Agrobase’ di Kinabatangan

New Sabah Times , 27 November 2007

SEJARAH pertanian sudah tercipta di Kinabatangan apabila sebuah syarikat pelaburan berasaskan agrobase, Bionas Agropolitan Tecknology Corridor atau BATC Development Sdn Bhd memetrai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Ko-Tanikan Kinabatangan Berhad (Ko-Tanikan), sebuah badan di bawah Biro Pertanian dan Perikanan Umno Kinabatangan bagi program penanaman Pokok (Jatrocpha Curcas) yang dijangka melibatkan pelaburan RM100 juta.

Secara ironinya, jika nilai perjanjian itu menjadi kenyataan, sudah tentu satu lagi sejarah besar ekonomi negeri akan tercipta di kawasan ini, apabila buat pertama kalinya nilai pelaburan sebegitu tinggi dapat disumbangkan oleh sebuah syarikat perladangan bertaraf nasional (BATC Development) kepada sebuah program pertanian yang melibatkan sebuah badan koperasi parti politik seperti Umno, yang juga julung-julung kali diwujudkan di Sabah, dipengerusikan oleh saudara Saddi Haji Abdul Rahman.

Tentunya, slogan, “Kita Bermula di Sini’ yang dilaungkan oleh Ko-Tanikan Kinabatangan Berhad di sebalik Pelancarannya dilakukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, 21 April lalu, sudahpun bermula untuk menfokuskan bidang pertanian terpilih di kawasan yang luasnya 6,605km dan didiami oleh lebih 70,000 penduduk yang sebahagian dari penduduk petani luar bandar ini masih miskin tegar, kedua tertinggi dalam negara.

Program pertanian pokok jarak atau Pokok Tangan-Tangan dikenali di kalangan rakyat tempatan, yang nampak diamanahkan secara terus kepada Ko-Tanikan ini, memang agak signifikan dengan keperluan industri pertanian dan gas negara ketika ini, apabila hasil daripada penanaman program ini boleh menghasilkan minyak biodisel daripada buah pokok jarak, yang sekaligus menambah kapasiti tuntutan bahan bakar negara berasaskan biodesel. Ia sekaligus mengurangkan pula pengeluaran karbon dioksida yang menjadi fenomena pencemaran alam sekitar dalam industri permotoran dan jentera negara.

Untuk rekod, pusat Pembangunan dan Penyelidikan Pokok Jarak (R&D) milik BATC Development sudah diwujudkan sejak tiga bulan lalu di kawasan lebih 240 ekar di kawasan Keningau. Ia akan menjadi rujukan utama kepada mana-mana kawasan ladang pembiakan program pertanian ini, apalagi kepada kawasan penanaman luas yang boleh menempatkan sebuah kilang pemerosesan (press mill) yang dibina di setiap 5,000 ekar kawasan penanaman ini.

Tetapi jika matlamat ini tercapai di Kinabatangan, sudah tentu kawasan Kinabatangan dengan sendirinya bukan saja menjadi sebahagian daripada pembekal keperluan biodiesel negara, malah bidang yang dijangka dimasukkan sebagai sebahagian daripada Program Pembangunan Koridor Sabah dan Sarawak yang dijangka diumumkan Perdana Menteri tidak lama lagi ini akan membantu meningkatkan lanskap pembangunan infrastruktur dan ekonomi rakyat di kawasan ini yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan faedah.

Prospek perladangan ekonomi bertali arus ke Sabah ini amat seiring dengan harapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman yang menggariskan landasan ekonomi negeri di bawah Program Pembangunan Halatuju Negeri yang meletakkan bidang pertanian sebagai salah satu penyumbang selain bidang Pembuatan dan Pelancongan, kepada masa depan KDNK negeri berterusan sejak awal tahun 2003.

Namun kita tetap mempersoalkan adakah rancangan ekonomi yang dianggap paling mudah kepada rakyat ini menjadi satu realiti?.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Saddi pada majlis perasmian dan MoU itu, menjadi satu cabaran besar kepada Ko-Tanikan bukan saja untuk menjayakan perjuangan mendapatkan sebidang tanah yang mempunyai ‘vibeliti’ atau kekuatan bagi menjayakan program itu. Tetapi meyakinkan rakyat, sekaligus merubah minda dan paradigma masyarakat khususnya para pekebun kecil untuk sama-sama terlibat dalam program bersifat “jihad ekonomi’ itu.

Apalagi program ekonomi sedemikian, kata Saddi boleh menjadi sebahagian dari sandaran bersama lebih 2,077 keluarga yang disenaraikan sebagai golongan miskin tegar di kawasan itu, bebas daripada kepompong kemiskinan dan berpindah kepada kehidupan yang harmoni dan sejahtera hingga mengatasi kepada kepelbagaian keperluan hidup mereka.

Kebimbangan Naib Ketua Umno Bahagian ini tentunya merujuk kepada sejarah ekonomi bumiputera di kawasan berkenaan sejak Kinabatangan sudah dimasukkan sebagai wilayah jajahan British Nort Borneo Company 1881, kawasan yang menjadi populasi awal kaum Cina dan kononnya menjadi persingahan Laksamana Cheng Ho ini di awal kurun ke-15.

Maksudnya kemampuan berusaha lebih gigih di kalangan segelintir rakyat tempatan yang terus mundur di sini, walaupun daerah ini dari segi logistiknya memiliki pelbagai asas ekonomi yang kuat dan tanah yang luas serta subur, selain sungai yang terpanjang di Sabah untuk kebaikan sistem perhubungan rakyat kala itu. Walhal ke hari ini, taburan ekonomi perladangan serta berasaskan pelancongan di Kinabatangan terus dikuasai oleh para pelabur luar!

“Saya sentiasa berharap agar bidalan Melayu ‘perahu di sungai dan dayung sudah ditangan’ dengan merujuk kepada kesediaan BATC Development menyalurkan peruntukan seluas RM100 juta itu, memberi galakan kuat kepada masyarakat tempatan setempat melibatkan diri dalam program ini,” katanya,
Saddi yakin dengan sokongan kuat yang terus diberikan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokthar yang juga sebagai Ketua Umno Bahagian Kinabatangan yang banyak bertindak sebagai ‘peransang’ kewujudan Ko-Tanikan, diikuti Timbalannya, Datuk Aklee Haji Abbas serta barisan kepimpinan Umno bahagian ini, kemudian sokongan pihak diberikan pihak berkuasa tempatan melalui Pegawai Daerahnya, Abdul Latif Kandok dan seluruh rakyat. Seterusnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, tidak ada yang mustahil untuk mencipta kejayaan ekonomi itu.

Ada bisik-bisik dan laungan kecil yang popular di sini, ‘atur’! daripada Pegawai Daerah, Abdul Latif Kandok yang memberi reaksi ke atas tepukan lebih 400 pekebun kecil yang hadir di majlis itu, selepas Ketua Pegawai Eksekutif , Bionas Sdn Bhd, Zurina Amnan menjelaskan seluruh penduduk di Kinabatangan boleh menanam pokok jarak di persekitaran tanah mereka hanya dengan mendapatkan pengesahan pemimpin masyarakat dan pegawai daerah bahawa mereka mendiami kawasan itu.

Setiap pekebun terlibat menerima pembiayaan kewangan berbentuk pinjaman daripada Bionas Sdn Bhd dan akan dipotong daripada penghasilan pertama keluaran mereka selepas enam bulan menanam bahan komoditi itu yang dijangka meraih pendapatan sehingga RM3,000 hingga RM6,000 sebulan bagi penghasilan kawasan tanah 10 ekar dan terus meningkat selepas tempoh tiga tahun hingga ke jangka hayat pokok jarak selama 47 tahun.

Apa yang lebih meyakinkan di sebalik MoU ini iaitu jaminan yang diberikan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Japlin Haji Akim yang mewakili Menteri berkenaan, Datuk Abdul Rahim Ismail bahawa kerajaan negeri amat menyokong segala usaha ke arah program perladangan Pokok Jarak Berskala Besar di Kinabatangan ini, yang perlu disertai seluruh rakyat, bukan saja di Kinabatangan tetapi seluruh negeri, ke arah menjana pembangunan ekonomi Sabah.

“Saya sendiri amat menyokong jika Ko-Tanikan diberikan sokongan kerajaan negeri memiliki tanah sendiri untuk program ini. Ia bukan saja boleh mendatangkan pulangan lumayan kepada rakyat dan ahli-ahli koperasi secara terus. Tetapi menjadikan Kinabatangan kawasan perintis penting untuk menjana pengeluaran biodesel negara, sekaligus mencapai kepada beberapa matlamat utama di sebalik program perladangan berdaya maju ini,” katanya.


Hakcipta Terpelihara © 2007
BATC Development Bhd