Bionas bela nasib OKU, ibu tunggal dan bekas penagih
: oleh Wan Juhaida Wan Hassan

SINAR HARIAN, 23 November 2007

PINTU PADANG - Bionas Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Pembangunan Kerohanian dan Insaniah Malaysia (IPKIM) memberi peluang cerah dan harapan baru kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan bekas penagih dengan cara penyediaan peluang pekerjaan kepada mereka.

Pengerusi Eksekutif IPKIM merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Bionas Agropolitant Technology Corridor (BATC) Development Bhd, Mohd Safi'e M Jaffri, berkata pendedahan kepada projek Bio-Diesel Tanaman Jarak Jatropha memberi ruang kepada tiga golongan ini untuk meraih pendapatan bulanan bagi menyara kehidupan seharian.

"Bionas akan menyediakan banyak peluang pekerjaan terutama kepada tiga golongan berkenaan dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak kerajaan," katanya pada Majlis Penyerahan Anak Pokok Jarak kepada perintis Projek Tanaman Jarak, Datuk Salim Abdul Majid dari Kampung Melayu Sempalit di sini.

Safi'e berkata, Bionas sedang dalam proses untuk memohon kerjasama daripada kerajaan bagi menyediakan kawasan tanah yang berpotensi untuk diusahakan oleh bekas penagih yang sudah pulih dan bebas 100 peratus daripada ketagihan untuk memulakan kehidupan baru sebagai seorang usahawan tani.

Katakan Bionas juga mengharapkan penyertaan yang ramai daripada ibu tunggal untuk menyertai projek tanaman jarak ini agar dapat dijadikan sumber pendapatan tetap bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, Bionas juga memberi tumpuan kepada penyertaan golongan OKU di mana mereka akan diberikan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemampuan seperti melaksanakan projek semaian benih pokok jarak.

Katanya, penyertaan daripada mahasiswa yang menganggur juga digalakkan sebagai variasi baru dalam dunia pekerjaan di sektor pertaniaan.

Safi'e berkata, Bionas memberi penekanan dalam meningkatkan pembangunan modal insan sebagai pengisian utama pelancaran Projek Tanaman Jarak ini.

Katanya, semua pengusaha projek ini tidak perlu risau berkenaan latihan kemahiran kerana pendedahan sepenuhnya akan diterapkan oleh Bionas sendiri.

"Begitu juga dengan urusan modal dan pemasaran kerana Bionas akan menjadi pembeli tetap kepada produk buah jarak daripada pengusaha. Buah Jarak yang matang mampu menghasilkan 33 peratus minyak untuk dijadikan bio-diesel," katanya.

Oleh itu, katanya penyertaan daripada mana-mana individu dalam projek ini akan memberi keuntungan berpatutan kepada pengusahanya.

 

Hakcipta Terpelihara © 2007
BATC Development Bhd