Pokok jarak bakal jana biodiesel negara dari Kinabatangan
Oleh : Awang Ahmad

New Sabah Times, 23 November 2007

Ada perkembangan mutakhir berhubung penubuhan Koperasi Tanikan, Berhad atau Ko-Tanikan, sebuah ekuiti perniagaan koperasi diwujudkan Biro Pertanian dan Perikanan Umno kinabatangan, apabila ia mula melangkah setapak untuk mengadakan Majlis Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan dua badan swasta bertaraf nasional di daerah itu waktu terdekat.

Mou antara badan koperasi dan 2 syarikat ini begitu signifikan kepada perkembangan ekonomi pertanian dan Umno di Kawasan ini, selepas anggota Ko-Tanikan di ketuai Pengerusinya, Saddi Abdul Rahman menyertai Konvesyen Pertanian Kebangsaan di Seremban dan hanya beberapa hari selepas Perhimpunan Agong Umno Malaysia di kuala Lumpur dalam bulan November ini.

Secara jelasnya, MOU yang diadakan Ko-Tanikan dengan BATC Development BHD dan Bionas Sdn Bhd di Dewan Sri. Lamag, Kota Kinabatangan 24 November ini berkaitan program pengembangan penanaman Pokok Jarak atau nama saintifiknya Jatropha Curcas (JC) untuk tujuan penghasilan sumber biodiesel yang ketika ini sedang diperlukan pengguna bahan api itu di seluruh negara.

Pembantu Menteri Pertanian dan Asas Tani Negeri, Datuk Japlin Haji Akim yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah yang dijangka mewakili Menteri Pertanian, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail akan merasmikan majlis MOU berkenaan.Di bawah program ini kelak, Ko-Tanikan yang mula diwakili oleh pekebun-pekebun kecil di Kinabatangan, yang sebahagian darinya adalah kalangan ahli-ahli Umno yang telah, sedang dan akan menyertai koperasi tersebut akan bertindak sebagai agen pengendali program penanaman dan pemasaran hasil buah pokok Jarak mewakili syarikat terlibat.

Kesediaan dan penyertaan Ko-Tanikan Bhd dalam bidang komoditi baru ini di lihat sebagai satu kemajuan baru badan koperasi tempatan, apalagi satu-satunya milik Parti Umno di Sabah, selari dengan Dasar Pertanian Negeri yang digariskan di bawah Halatuju Pembangunan Negeri yang turut memberi tumpuan kepada bidang seumpama itu. Apalagi kedudukan tanah pertanian di Kinabatangan yang begitu luas, sebuah daerah seluas Negeri Pahang, masih mempunyai ruang bagi penerokaan sumber baru pertanian untuk penjanaan bahan bakar negara itu.

Umum mengetahui, penemuan dan penerokaan terhadap bahan pengeluaran biodiesel negara ini bergantung kepada penanaman pokok kelapa sawit yang sedang hebat diusahakan di seluruh negara termasuk di daerah ini, sebagai antara daerah terbesar dalam negara mengusahakan kegiatan perladangan itu.

Dengan bentuk penjagaan yang mudah, teknologi pemerahan minyak yang tidak menggunakan kos yang tinggi membolehkan setiap penanaman mudah mendapat bahan biodiesel berkenaan sebelum ianya dipasarkan kepada pihak pembekal bahan ini. Anggaran pengeluaran bahan bakar berkenaan bagi setiap ekar ialah 1.2 tan dalam tempoh setahun dan berkali ganda dalam tempoh tiga tahun. Ia dilaporkan bakal memberikan pulangan lumayan kepada setiap penanam pokok berkenaan dengan kadar pembelian yang ditetapkan oleh pembekal, dijangka lebih tinggi berbanding pendapatan penghasilan buah kelapa sawit.

Hakcipta Terpelihara © 2007
BATC Development Bhd