Sabah&Sarawak: Limbang tapak projek perintis tanam jarak

BERITA HARIAN, 21 Nov 2007

LIMBANG : Limbang dipilih menjadi tapak pertama penanaman tanaman jarak, nama saintifiknya Jatropha curcas untuk sumber biofuel di Sarawak yang kini mempunyai 3.6 juta anak pokok di tapak semaian seluas 15 hektar di Kampung Bakol dan Kampung Palas, dekat sini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan BATC Development Sdn Bhd, Shafie Mohd Jaffri, berkata projek tanaman jarak yang berpotensi sebagai bahan bakar pilihan itu mula dilancarkan di Limbang, Ogos lalu sebelum diperluaskan ke kawasan Miri, Kuching serta Sabah.

"Penanaman jarak bukan sahaja menghasilkan bahan untuk biofuel malah mampu meningkatkan ekonomi dan membasmi kemiskinan masyarakat di kawasan luar bandar.

Shafie berkata, syarikat BIO NAS, anak syarikat BATC kini mempunyai dua kawasan tapak semaian jarak di Kampung Palas dan Kampung Bakol dengan keluasan keseluruhan 15 hektar yang mampu mengeluarkan lebih 3 juta anak benih untuk ditanam di kawasan ini.

"Setakat ini kita juga mempunyai lebih 500 ahli berdaftar yang memiliki keluasan keseluruhan lebih 1,000 hektar tanah bagi tanaman berkenaan dengan mensasarkan

untuk mengeluarkan 10 juta anak pokok sebulan untuk petani di daerah Limbang," katanya pada Majlis Penerangan dan Perasmian Semaian Projek Tanaman Jarak di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Syarikat BIO NAS, Zurina Amnan, wakil Residen Saiful Bahri Alwi dan Pengerusi Pembangunan Projek Tanaman Jarak Limbang, Azerin Ibrahim.

Shafie berkata, Limbang juga akan mempunyai dua kilang 'Press Mill' di kawasan tapak semaian dan satu kilang penapis di kawasan berhampiran pelabuhan pada tahun depan dengan kos RM70 juta .

Katanya, BIONAS turut mendapat tempahan pasaran daripada Korea, Jerman dan Thailand.

"Projek berpotensi ini boleh menjana pembangunan ekonomi baru rakyat luar bandar untuk membasmi kemiskinan berorientasikan agropolitan ekonomi koridor Sarawak," katanya.

Sumber dari : Berita Harian Online.

Hakcipta Terpelihara © 2007
BATC Development Bhd