Pokok jarak sumber biodiesel terbaik

Utusan Malaysia - 16 November 2007

Setiap kali harga minyak mentah dunia semakin naik dan kita terbayangkan inflasi bakal menyusul kerana ia akan mengakibatkan harga barang keperluan melambung.

Kita tertanya-tanya, kenapa harga minyak mentah yang sentiasa melonjak menyebabkan kualiti hidup dan masa depan terasa terancam?

Seolah-olah tunduk kepada kuasa minyak, kita hanya mampu merintih melepaskan kehampaan. Kerana sememangnya kita tidak banyak mempunyai pilihan selain bergantung kepada minyak untuk mengerakkan kenderaan.

Barangkali kita boleh berasa sedikit lega dengan penemuan-penemuan semasa daripada penyelidikan tempatan yang boleh mengurangkan beban kenaikan harga minyak.

Sebagai contoh, sebuah syarikat tempatan telah berjaya memanfaatkan tanaman pokok jarak Jatropha (JJ) ataupun nama saintifiknya, Jatropha curcas yang mampu menghasilkan minyak untuk penghasilan biodiesel bagi kegunaan enjin dan kenderaan.

Pengerusi Kumpulan Bionas AgropoIitan Technology Corridor (BATC) Development Berhad, Mohd. Shafi'e M. Jaffri berkata, pada zaman pendudukan Jepun, pihak penjajah menanam pokok tersebut dan mengarahkan penduduk tempatan menanamnya.

Menurutnya, mereka bagaimanapun tidak mengajar penduduk tempatan tentang kegunaannya. Katanya, sebiji buah jarak mempunyai dua hingga empat benih yang boleh diproses menjadi biodiesel. "Dibandingkan minyak JJ memiliki angka(kandungan) Cetane lebih Baik, kandungan tenaga hampir sama dan tanpa kandungan sulfur. "Ini menjadikan minyak JJ bahan bakar minyak alternatif daripada tumbuh-tumbuhan yang mesra alam," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shafi'e pokok jarak merupakan pokok yang ditanam di celah-celah pokok untuk dijadikan 'pagar'. Katanya, ia juga berfungsi sebagai pokok selingan di kebun atau ladang kelapa, nanas, vanila, halia dan lain-lain yang memberi teduhan dan menyuburkan tanah.

"Malah, apa yang lebih penting, ia berpotensi menjadi pemangkin untuk menggerakkan projek agropolitan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang, selain Mersing dan Kota Tinggi dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)," katanya.

Dengan adanya konsep agropolitan, Mohd Shafi'e berkata: "Anak-anak muda di luar bandar tidak perlu lagi pergi ke bandar."

"Semua infrastruktur, sistem teknologi maklumat (IT), perumahan, balai polis dan bank akan . dibangunkan di sekitar tapak tanaman pokok ini," katanya.

Menurut beliau, ideanya untuk menjalankan projek tanaman JJ itu mendapat sokongan daripada pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan negeri.

Menurutnya, selain kegunaan secara langsung, tanaman pokok jarak sesuai untuk menambah sumber pendapatan kepada penanam. "Penanam JJ boleh memperoleh pendapatan lebih kurang RM800 hingga RM1,500 sebulan daripada satu hektar tanah yang ditanam 2,000 hingga 2,500 pokok jarak.

"Syarikat minyak dari Korea Selatan misalnya telah menandatangani kontrak dengan BATC untuk mendapatkan bekalan minyak JJ yang berterusan bagi tempoh 20 tahun.

"Ini jelas menunjukkan hasil minyak biodiesel disokong dan diiktiraf sedunia," katanya yang telah membuat pelaburan awal sebanyak RM3.4 juta untuk penyelidikan dan pembangunan projek tersebut. Untuk mempercepat pemprosesan JJ, beliau memberitahu, sebuah pusat pengumpulan biji dan kilang memproses minyak (hab/pusat) perlu didirikan pada kawasan tanaman seluas 2,203 hektar. Sehingga kini katanya, kilang tersebut terdapat di Keningau, Sabah; Limbang Sarawak dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Sebanyak 3,000 hab akan didirikan dengan jumlah keluasan tanah JJ sebanyak 92,145 ekar diseluruh negara. "Hab itu memanfaatkan sistem IT sepenuhnya. Kad keahlian peserta berdaftar akan digunakan dalam urusan jual-beli buah jarak (sistem timbang automatik) dan proses mendapatkan bayaran (Point of Sales). "Justeru, prestasi peserta berdaftar dalam projek tanaman JJ ini dapat dipantau melalui maklumat dalam talian mengenai pembayaran gaji," tambahnya.

Sementara itu, Mohd. Shafi'e memberitahu, BATC menubuhkan syarikat pemasaran, Bionas Sdn. Bhd. untuk mempromosikan biji benih dan baja JJ sementara Institut Pembangunan Kerohanian & Insaniah Malaysia (IPKIM) pula untuk membangunkan modal insan.

Katanya, objektif projek tanaman JJ adalah serampang dua mata, iaitu menjana pembangunan ekonomi dengan berasaskan pembangunan modal insan.

"Selain membantu golongan miskin, projek itu juga membantu bekas pelatih pusat serenti di seluruh negara dan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui skim khas yang ditawarkan.

"Program tersebut mengisi jiwa mereka yang terlibat dengan kekuatan akidah, kekuatan akhlak, kekuatan ilmu dan kekuatan ekonomi,jelasnya.

Sehubungan itu Shafie berkata, pihaknya pernah berbincang dengan pusat serenti dan pusat penjagaan OKU untuk mewujudkan taman nurseri di pusat-pusat tersebut.

Beliau menegaskan, seramai 250 hingga 300 pelatih IPKIM, dan bukannya bekas pelatih pusat serenti (PS), digaji dalam projek tanaman JJ setiap bulan.

"Mereka didedahkan dengan cara penanaman, penjagaan, pembenihan dan pembajaan pokok JJ agar berdikari apabila keluar dari pusat kelak,"katanya.

 

Hakcipta Terpelihara © 2007
BATC Development Bhd