Projek Jatropha Curcas tingkat ekonomi penduduk

Utusan Borneo, 15 Ogos 2007

LIMBANG,14 Ogos: Lebih 50 ribu penduduk berpeluang meraih hasil berganda melalui projek penanaman Jatropha Curcas yang bertaraf mega dan mampu menaikkan taraf pendapatan ekonomi petani kecil dan sederhana di bahagian ini.

Projek pertama diperkenalkan di Limbang ini dijangka melibatkan penyertaan semua peringkat masyarakat terutama mereka yang memiliki tanah terbiar yang tidak diusahakan. Pengerusi Pembangunan Projek Jarak Jatropha Curcas Limbang, Azerin Ibrahim berkata, projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui skim pembiayaan tanaman yang disediakan oleh pihak BATC Development Bhd, selaku pemaju projek berkenaan.

"Dalam jangkaan awal kita, ia mungkin melibatkan tanah seluas lebih 100 ribu hektar dan yang pasti, projek ini memang menguntungkan. Saya mahu penduduk Limbang mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui Utusan Borneo, di sini, hari ini. Buah pokok Jatropha Curcas, iaitu tumbuhan alternatif kepada kelapa sawit, mampu menjadi sumber utama bahan bakar minyak pada masa depan.

Projek tanaman pokok Jatropha ini sudah lama diusahakan di India dan kini, ia bakal menjadi salah satu lagi penanaman utama di negara ini selain berpotensi menyumbang pendapatan ekonomi kepada penduduk setempat.

Buah Jatropha memiliki banyak keistimewaan antaranya, mengandungi minyak lebih tinggi (33 peratus), sesuai di tanam di celah tanah sebagai pagar,tumbuh dengan cepat iaitu dalam masa enam bulan sudah mampu mengeluarkan hasil, senang dijaga, tidak mudah dijangkiti penyakit tanaman termasuk serangga, ulat dan binatang ternakan.
Selain itu hampasnya mengandungi kandungan nitrogen yang banyak, baik untuk baja dan hasil pengeluaran dalam masa tiga hektar setahun. Sebiji buah Jatropha mengandungi dua hingga tiga biji benih yang akan diproses menjadi biodiesel.

Saiz pokok yang rendah dan rendang akan memudahkan proses memetik dengan tangan atau alat memetik dengan jangkahayatnya boleh menjangkau 45 tahun atau lebih. Lantaran itu kata Azerin, tiga program khas akan diadakan di Bangunan Tamu Batu Danau, Dewan SMK Medamit dan Dewan Suarah Limbang dan dijangka melibatkan penyertaan sejumlah 1,500 peserta dari sekitar daerah ini.

"Program di bangunan Tamu Batu Danau, diadakan pada jam 7.30 pagi(25 Ogos),pada hari yang sama jam 1.30 petang di Dewan SMK Medamit. Program hari pertama ini, khas untuk peserta dari kawasan luar bandar manakala, bagi penduduk di sekitar bandar Limbang pula, mereka berpeluang mengikuti sesi penerangan yang sama, di Dewan Suarah Limbang, pada jam 7.30 pagi(26 Ogos).

"Ini merupakan peluang keemasan kepada seluruh penduduk Limbang. Jangan lepaskan peluang keemasan itu," katanya.

Projek penanaman pokok Jatropha diwar-warkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika sesi lawatan rasmi beliau di Kudat Sabah, 12 Ogos lalu.

 

Hakcipta Terpelihara © 2007
BATC Development Bhd