 |
KUALA LUMPUR: Kerajaan kini meneroka penggunaan minyak jarak atau jatropha sebagai sumber bahan mentah bagi pengeluaran biodiesel negara pada masa depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha itu masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan serta belum sampai ke tahap pengkomersilan yang besar.
Katanya, penggunaan minyak sawit serta lain-lain minyak sayuran ketika ini sudah menimbulkan isu percanggahan atau persaingan kegunaan minyak sayuran sebagai bahan bakar atau makanan.
Sehubungan itu, usaha dunia sedang ditumpukan untuk menggunakan sumber bahan mentah yang tidak boleh dimakan sebagai sumber bahan mentah bagi pengeluaran bio bahan api, katanya ketika menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.- Bernama |