Tanaman Jarak Elak Tanah Terbiar

SINAR HARIAN, 27 Oktober 2007

PINTU PADANG - Jarak atau nama saintifiknya Jatropha Curcas adalah sejenis tanaman yang da­pat menghasilkan minyak bio-diesel untuk kegunaan enjin dan kenderaan.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Raub me­lancarkan Projek Tanaman Jarak untuk manfaat semua penduduk yang berminat dan memiliki kawasan tanah pertanian untuk diusahakan.

Menurut Pengerusi PPK Raub, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid, kawasan Pahang Barat terutamanya di dae­rah Raub mempunyai ka­wasan tanah yang luas dan berpotensi untuk di­majukankan dalam Projek Tanaman Jarak ini.

"Penduduk di daerah ini yang mana memiliki tanah terbiar boleh merebut peluang ini untuk menjana pendapatan dalam penghasilan minyak bio-diesel daripada buah jarak.

"Tidak kira seluas mana tanah yang dimiliki, tanaman pokok ini hanya mengambil masa sehingga enam bulan untuk memberi hasil pertama. "Tempoh hayat pokok jarak ini juga lama iaitu sehingga 50 tahun di mana ia boleh mengeluarkan hasil," katanya.

 

Tambah Mustaffar Kamal, kaedah penanaman dan penjagaan pokok jarak ini amat ringkas dan mudah, sekali gus membuka ruang kepada individu daripada pelbagai peringkat umur untuk mengusahakannya.

"Pengusaha tidak perlu risau kerana anda semua akan dibekalkan dengan anak pokok, baja, alat-alat penyelenggaraan serta kos pembersihan tanah.

"PPK Raub juga akan memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada individu yang berminat untuk mengusahakan projek tanaman ini," tambahnya.

Mustaffar turut menggalakkan penyertaan daripada golongan belia agar tanah milik keluarga mereka dapat dimanfaatkan dengan hasil projek tanaman jarak ini daripada dibiarkan begitu sahaja tanpa mendatangkan hasil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PPK Raub di perkarangan Pejabat PPK disini sejurus selepas sesi taklimat berkenaan Projek Tanaman Jarak oleh pembekal dan pembeli hasil pokok jarak, Bionas Sdn Bhd.

Katanya lagi, pengusaha tidak perlu merasa risau kerana hasil tanaman mereka pasti dibeli dan harganya tidak akan turun dari paras minimum.

"Sekiranya diusahakan dengan sistematik dan mengikut prosedur, tanaman jarak boleh menghasilkan lebih 33 peratus minyak dalam setiap kilogram buah jarak. Sebanyak 800 pokok boleh ditanam bagi setiap ekar tanah dengan penghasilan satu kilogram buah jarak bagi setiap pokok dalam setahun.

"Hasil tanaman akan berganda bagi setiap tahun sehingga lima tahun penanaman dan akan kekal mengeluarkan hasil sehingga lebih 45 tahun lagi," katanya.

Mustaffa Kamal yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub menyeru penduduk di daerah ini agar memanfaatkan setiap bidang tanah yang ada dengan tanaman pokok ini.

 

Hakcipta Terpelihara © 2007
BATC Development Bhd